21 June, 2008

Kepimpinan SAPP setuju usul undi tidak percaya terhadap Abdullah

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdu-llah Ahmad Badawi dikemukakan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

“Setelah menimbang semua pendapat, Majlis Tertinggi membuat keputusan menyetujui usul itu dibawa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar majlis itu di sini kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat tidak membuat keputusan sama ada SAPP akan keluar daripada Barisan Nasional. Seramai 33 dari 35 anggota Majlis Tertinggi SAPP hadir, kecuali Timbalan Presiden yang juga Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, dan Anggota Dewan Undan-gan Negeri Sabah kawasan Likas, Datuk Liew Teck Chan, yang kedua-dua berada di luar negara. Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan hala tuju parti itu ekoran kenyataan Yong Teck Lee pada Rabu lepas bahawa SAPP telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah.

Pada Khamis Dewan Tertinggi BN yang mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur membuat keputusan tidak akan mengambil tindakan sehingga mendapat kepastian sama ada kritikan oleh Yong itu adalah pendirian parti atau bersifat peribadi. Majlis Tertinggi SAPP juga menggariskan lapan “perisytiharan penduduk Sabah” bagi membawa perubahan dalam negara ke arah mewujudkan satu kerajaan beramanah dan satu masyarakat yang adil, harmoni dan progresif.

Lapan perisytiharan itu ialah :

1. Kerajaan berasaskan kepada tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.
2. Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.
3. Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.
4. Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.
5. Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.

6. Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, sebolehnya diketuai rakyat tempatan.
7. Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.
8. Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam

struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.

kawoix says:
Salute la you Datuk Yong...
You are the Man..
mana si Pairin...masi kaamatan lagi ka dia???

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template